fb fb fb fb fb

Penjualan tiket VTL Malaysia-Singapura dibuka 100 peratus kapasiti



KUALA LUMPUR, 16 Februari- Penjualan tiket bas dan penerbangan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) Malaysia-Singapura dibuka sepenuhnya dengan 100 peratus kapasiti berkuat kuasa serta-merta.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, keputusan berkenaan dibuat berdasarkan penilaian risiko semasa serta persetujuan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Penjualan tiket akan dibuka dan berkuat kuasa serta-merta untuk perjalanan segera manakala bagi tiket bas perjalanan adalah bermula 22 Februari ini," katanya dalam satu kenyataan yang dikongsikan dalam hantaran akaun Facebook miliknya.

Menurutnya, inisiatif VTL itu telah berjaya meningkatkan jumlah pengendalian penumpang antarabangsa dan membantu meningkatkan sektor pelancongan dan ekonomi negara.

"Sehingga 14 Februari, seramai 171,583 pengembara daripada Singapura telah memanfaatkan insiatif ini," katanya.

Beliau berkata, Malaysia dan Singapura sedang mengadakan perbincangan lanjut bagi memperluaskan laluan VTL udara ke Pulau Pinang dan Kota Kinabalu untuk dilaksanakan tidak lama lagi.

"Dalam hubungan ini, MOT melalui Malaysia Airports Holdings Berhad sedang menyediakan fasiliti ujian saringan Covid-19 dan kemudahan-kemudahan yang berkaitan di lapangan terbang bagi menyokong pelaksanaan inisiatif tersebut kelak," katanya.

Ka Siong berkata, inisiatif tersebut diharap dapat memanfaatkan rakyat serta merancakkan sektor pelancongan dan seterusnya memacu pertumbuhan ekonomi bagi kedua-dua negara.

Pada 22 Januari lalu, pembukaan semula penjualan tiket bas dan penerbangan VTL di antara Malaysia dan Singapura diputuskan oleh kerajaan kedua-dua negara bagi merancakkan kembali sektor ekonomi negara.

Pembukaan VTL itu dibenarkan dengan kuota tiket yang dijual dikurangkan kepada 50 peratus atau separuh daripada kapasiti bas serta pesawat yang digunakan.

VTL Malaysia Singapura yang bermula pada 28 November lalu ditangguhkan sementara pada 23 Disember berikutan kebimbangan jangkitan Covid-19 varian Omicron.


Media Baharu