AYER KEROH, 7 Julai -Sindiket penjualan sijil cuti sakit palsu akan disiasat segera.
Perkara itu ditegaskan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Beliau berkata, laporan itu membolehkan siasatan dalaman dibuat untuk mengenal pasti pembabitan penjawat awam dalam sindiket terbabit.
"Siasatan dan laporan sedang dijalankan, tetapi saya belum melihat laporan itu lagi dan setelah teliti berkenaan perkara itu saya akan maklumkan," katanya.
Tan Sri Shamsul Azri berkata demikian selepas program Jelajah Taat Setia Madani peringkat negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).
Semalam, media melaporkan tiga lelaki termasuk seorang pesakit jantung ditahan selepas dipercayai terbabit kegiatan menghasilkan dan menjual sijil cuti sakit palsu.
Kegiatan mereka terbongkar selepas siasatan dalaman dijalankan terhadap seorang anggota polis yang kerap mengemukakan sijil cuti sakit.