SEREMBAN, 21 Mac- Penjawat awam wanita di Negeri Sembilan dibenarkan pulang awal pada setiap hari Jumaat sepanjang bulan Ramadan bermula 22 Mac ini yang selaras dengan pelaksanaan Waktu Bekerja Fleksi (WBF) Khas Ramadan 2024.
Menurut Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun, pelaksanaan tersebut hanya membabitkan Pejabat Daerah dan Tanah, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta Badan Berkanun kerajaan negeri itu.
"Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan mengumumkan pelaksanaan WBF khas bulan Ramadan tahun 2024 iaitu keistimewaan khas untuk penjawat awam wanita untuk membuat pilihan pulang lebih awal pada hari Jumaat setelah cukup jam bekerja dan pulang awal pada pukul 2 petang dengan syarat tiada waktu rehat tengah hari", kata Aminuddin yang ditemui media selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini pada Rabu.
Dalam pada itu, Aminuddin urut berharap pelaksanaan Waktu Bekerja Fleksi Khas Ramadan 2024 dapat meningkatkan motivasi semua penjawat awam disamping dapat memberikan komitmen sepenuhnya kepada perkhidmatan awam di Negeri Sembilan.
Tambah Aminuddin, Ketua Jabatan juga diingatkan agar memantau waktu bekerja pegawai yang bertugas untuk mematuhi prosedur dan syarat ditetapkan bagi memastikan perkhidmatan kaunter tidak terjejas ketika pelaksanaan kemudahan tersebut.