KUALA LUMPUR, 19 Mac- Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) mengingatkan penjawat awam agar berhati-hati dengan tawaran pinjaman peribadi yang semakin banyak menjelang sambutan Aidilfitri.
Presiden Angkasa Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, tawaran berkenaan sering kali diberikan oleh pihak tidak bertanggungjawab, yang menggunakan nama agensi itu untuk meningkatkan keyakinan dan memperdaya peminjam.
"Terlalu banyak sangat mereka yang menggunakan nama Angkasa untuk meningkatkan keyakinan peminjam.
"Mereka (peminjam) yang menjadi sasaran untuk membuat permohonan pinjaman melalui kumpulan ini. Jadi saya harap penjawat awam, jangan terpengaruh atau terpedaya dengan kumpulan ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengagihkan juadah berbuka puasa di Wisma Berita, Angkasapuri Kota Media di sini.
Menurut Abdul Fattah jumlah permohonan pinjaman peribadi kebiasaannya meningkat mendadak menjelang Ramadan dan Syawal, dengan anggaran 20,000 hingga 30,000 permohonan tambahan berbanding bulan biasa.
Sehubungan itu, penjawat awam disarankan untuk menyemak kesahihan syarikat yang menawarkan pinjaman sebelum membuat sebarang keputusan.