
SEREMBAN, 13 Januari – Kerajaan Negeri Sembilan mengumumkan peruntukan Bonus Khas Kewangan (BKK) berjumlah RM15 juta kepada 50,000 kakitangan awam persekutuan yang berkhidmat di negeri itu sempena sambutan Aidilfitri 2026.
- Kerajaan Negeri mengumumkan BKK RM300 dibayar sempena Aidilfitri kepada penjawat awam persekutuan di Negeri Sembilan.
- Pengumuman dibuat dalam Perhimpunan Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan 2026 di Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad.
- Gagasan perkhidmatan awam 2026 menekankan Integriti Menyeluruh, Kecekapan Perkhidmatan dan Khidmat Dirasai Rakyat.
- Menteri Besar menegaskan integriti asas pentadbiran untuk mempertahankan kepercayaan rakyat dan meningkatkan mutu perkhidmatan.
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, inisiatif itu sebagai suntikan semangat kepada penjawat awam persekutuan yang telah memberi sokongan pada kepada kerajaan negeri.
“BKK 2026 akan dibayar sempena Aidilfitri sebanyak RM300 kepada penjawat awam persekutuan yang berkhidmat di Negeri Sembilan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam amanat Perhimpunan Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan Darul Khusus Tahun 2026 yang diadakan di Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad, di sini hari ini.
Pengumuman itu dibuat selari dengan gagasan perkhidmatan awam Negeri Sembilan bagi tahun 2026 yang memberi penekanan kepada tiga indikator utama iaitu Integriti Menyeluruh, Kecekapan Perkhidmatan dan Khidmat Dirasai Rakyat.

“Banyak negara yang berjaya hari ini menjadikan integriti sebagai asas pentadbiran awam mereka. Mereka membuktikan bahawa kemajuan tidak bermula dengan projek besar semata-mata, tetapi dengan kejujuran dalam mengurus amanah dan ketelusan dalam membuat keputusan,” katanya.
Tambahnya, integriti juga perlu dijadikan asas kepada pentadbiran awam bagi memastikan kepercayaan rakyat terus dipelihara serta mutu penyampaian perkhidmatan dapat dipertingkatkan