fb fb fb fb fb

Penjawat awam dijatuhkan hukuman penjara sehari, denda RM10,000

BUTTERWORTH, 31 Januari- Mahkamah Khas Rasuah Butterworth menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 terhadap seorang penolong pegawai kesihatan persekitaran yang mengaku menerima wang suapan pada tahun 2016.

Tertuduh Sumardi Yazid, 41, membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang bertugas sebagai penolong pegawai kesihatan persekitaran di Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Berapit pada 8 Mac 2016 didakwa menerima wang tunai berjumlah RM5,200 dengan membuat syor memilih syarikat yang dimiliki adiknya bagi melaksanakan kerja membekal peralatan bekalan am.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dalam rayuannya, tertuduh yang diwakili peguam, Ang Chun Pun merayu agar hukuman ringan diberikan kerana anak guamnya telah digantung tugas selain perlu menyara isteri, seorang anak berusia 14 tahun dan ibu mertua yang diserang strok.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Noor Azura Zulkiflee bagaimanapun meminta mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran dan mesej kepada orang ramai, termasuk penjawat awam, kerana perbuatan menerima rasuah adalah kesalahan serius.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 jika gagal membayar denda selain boleh dipenjara selama lima bulan.

Difahamkan tertuduh membayar denda tersebut.

(Sumardi Yazid)

Media Baharu