fb fb fb fb fb

Penjawat awam di Kedah sambut baik 'duit raya'

Gambar hiasan

ALOR SETAR, 22 Mac – Penjawat awam di Kedah menyambut baik pemberian Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disifatkan sebagai langkah prihatin dan wajar menjelang sambutan Hari Raya.

Bantuan sebanyak RM500 kepada penjawat awam serta RM250 kepada pesara kerajaan dianggap tepat pada masanya bagi meringankan beban kos persiapan perayaan.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Ismail Othman berkata, pemberian ini mencerminkan pengiktirafan terhadap jasa dan komitmen penjawat awam kepada negara.

“Ini tanda penghargaan dan keprihatinan Kerajaan MADANI kepada semua penjawat awam atas usaha dan khidmat bakti mereka dalam melancarkan pengurusan dan pentadbiran kerajaan. Sekurang-kurangnya bantuan khas ini dapat meringankan beban menjelang Aidilfitri dan menggembirakan seluruh umat Islam,” katanya ketika ditemui RTM.

Kakitangan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Mohd Nadzir Malek Feroz menyifatkan bantuan tersebut sebagai bantuan bermakna buat penjawat awam luar bandar.

“Terima kasih kerajaan kerana sudi memberikan sumbangan duit raya kepada kami penjawat awam. Dapatlah kami pulang ke kampung dengan lebih tenang,” ujarnya.

Bagi Murshidah Idris, bantuan itu bukan sahaja membantu perbelanjaan persiapan, malah dapat disalurkan kepada keperluan anak-anak.

“Dengan bonus ini sedikit sebanyak dapat membantu untuk persiapan raya, mengurangkan beban kami dan bagi duit raya untuk anak-anak di sekolah… terima kasih,” katanya.

Seorang guru, Khamarul Nizam Ahmad turut menghargai sumbangan itu yang dapat menampung perbelanjaan asas sempena hari raya.

“Terima kasih kepada Kerajaan Malaysia, terutama Perdana Menteri kita yang prihatin. Bonus raya sebanyak RM500 ini membantu kami membeli baju raya, balik kampung, bayar tol dan minyak,” ujarnya.

GRACE AISYAH KEDAYAN