KOTA BHARU, 26 Ogos- Peniaga di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV kembali berniaga selepas kejadian angin kencang bersama pasir yang melanda kawasan itu malam tadi.
Kejadian yang berlaku pada pukul 7.20 malam semalam meranapkan dua buah khemah peniaga dan sebuah kanopi yang disediakan untuk pengunjung menikmati makanan.
Seorang peniaga produk kecantikan, Rohayu Laila Abdul Karim berkata, kejadian tersebut mengejutkan ramai pengunjung dan peniaga.
Katanya, walaupun banyak produknya diterbangkan angin dan basah, namun dia tetap berniaga hari ini.
"Barang yang terbang tu ada dalam kotak dan basah terkena air bertakung, kerugian dianggarkan RM500.
Alhamdulillah hari ini saya bagi secara percuma sahaja kepada pengunjung yang datang," katanya.
(Rohayu Laila, peniaga)
Seorang lagi peniaga, Irwan Shah berkata, kejadian itu berlaku dalam sekelip mata.
Dia yang merupakan jurujual Proton menzahirkan rasa syukur kerana kenderaan yang dikhaskan untuk pameran tidak mengalami kerosakan.
"Cuma kereta milik pengunjung yang diparkir di bawah pokok mengalami kerosakan akibat kejadian ribut tersebut," katanya.
Menurut Nik Muhd Amirul Mustaqim pula, ketika kejadian berlaku dia dalam perjalanan pulang ke rumahnya.
Dia yang juga merupakan salah seorang peniaga di kawasan berkenaan bergegas ke tempat kejadian dan melihat khemah miliknya sudah diterbangkan angin.
"Meja ada yang patah, besi pun ada yang rosak.
Dapur gas masuk air, jumlah kerugian semua tak dapat dipastikan," katanya.
Peniaga mula berniaga semalam sempena Karnival Kelantan 2022 yang dijadualkan berakhir 3 September depan.
Kejadian ribut menyebabkan semua peniaga pulang lebih awal walaupun tempoh berniaga sehingga 12 tengah malam.