fb fb fb fb fb

Peniaga sewakan tapak bazar Ramadan kepada pihak lain akan disenarai hitam

Foto hiasan/Foto RTM

IPOH, 8 Mac - Tindakan tegas bakal dikenakan terhadap mana-mana peniaga bazar ramadan yang didapati menyewakan tapak bazar kepada pihak lain.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan mereka yang mengambil kesempatan menyewakan tapak pada kadar lebih tinggi kepada peniaga lain.

Walaupun tiada laporan sebelum ini mengenai kejadian itu, pihaknya akan terus memantau perkara berkenaan.

"Kita telah maklumkan kepada penguat kuasa MBI bahawa kita akan lebih tegas selain meningkatkan pemantauan di semua bazar Ramadan bagi memastikan tiada peniaga yang melanggar peraturan.

"Sekiranya kita dapati ada peniaga yang dapat tapak kemudian sewakan kepada orang lain, kita terus kompaun mereka dan akan disenarai hitamkan oleh MBI", katanya di sini.

Sebanyak 1,128 lesen bazar Ramadan diluluskan MBI melibatkan 24 lokasi di seluruh bandar raya Ipoh tahun ini.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD