fb fb fb fb fb

Peniaga nasi lemak terkejut jumpa bayi dalam kotak

Foto ihsan orang awam

PENDANG, 8 Oktober -  Seorang bayi lelaki yang masih hidup ditemui di sebuah gerai kuih muih berdekatan Sekolah Kebangsaan Kampung Rambai, Tokai di Pendang, Kedah pagi tadi.

Bayi berkenaan yang diletakkan di dalam sebuah kotak itu dipercayai dibuang individu tidak bertanggungjawab, antara malam hingga awal pagi tadi.

Peniaga Mahmud Lebai Salleh, 77 tahun berkata, beliau tiba di gerainya kira-kira pukul 6.45 pagi untuk berniaga kuih muih.

Bagaimanapun kira-kira satu jam selepas menjalankan perniagaan tiba-tiba beliau terdengar bunyi seperti suara anak kucing di tepi gerainya.

Beliau yang tidak mengesyaki apa-apa yang aneh kemudian mencari bunyi tersebut dan melihat sebuah kotak diletakkan di atas meja di tepi gerainya.

"Saya terus membuka kotak tersebut dan terlihat sosok seorang bayi lelaki diletakkan di dalam kotak…" katanya ketika dihubungi RTM.

Beliau kemudian menghubungi talian kecemasan 999 untuk memaklumkan mengenai penemuan tersebut.

"Kira-kira pukul 8.00 pagi, jururawat dari Klinik Desa Kampung Rambai telah sampai. Tidak lama kemudian pihak polis sampai dan bawa bayi tersebut ke Hospital Pendang untuk tindakan lanju," katanya.

Satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Pendang berhubung penemuan bayi tersebut.

TETITIA YUSOFF