KEMAMAN, 16 September- Seorang peniaga maut selepas pacuan empat roda dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori ayam di Lebuhraya Pantai Timur Fasa Dua (LPT2) berhampiran susur keluar Plaza Tol Jabor, dekat Kuantan, pagi tadi.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 7.41 pagi di kilometer 250.8 LPT2.
Mangsa, Ahmad Shuhaimi Kadir, 50, dari Taman Impianku, Kuantan, Pahang, meninggal dunia di lokasi selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala.
Isteri mangsa, Suzieta Othman, 50, serta dua anak mereka yang masing-masing berumur 7 dan 14 tahun mengalami cedera ringan dan kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.
Menurut Ketua Polis Daerah Kemaman, Penguasa Polis (SP) Mohd Razi Rosli, kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan mangsa berhenti secara tiba-tiba di kiri bahu jalan.
Lori membawa muatan ayam yang berada di belakang gagal mengelak lalu melanggar kenderaan mangsa.
Rempuhan menyebabkan kenderaan mangsa hilang kawalan, melanggar besi penghadang jalan sebelum terbalik sejauh hampir 90 meter.
Pasukan perubatan yang tiba di lokasi mengesahkan mangsa meninggal dunia, manakala pemandu dan kelindan lori hanya cedera ringan dan menerima rawatan di hospital sama.
Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk proses bedah siasat. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.