MARANG, 22 Mac- Kebiasaannya, bazar Ramadan dikaitkan dengan pelbagai juadah berbuka puasa, namun kelainan ditampilkan seorang peniaga di Marang yang menjual batu nisan dan kepok pusara.
Che Mohamad Ibrahim Che Ghani berkata penyertaannya dalam bazar tersebut bertujuan memperkenalkan perniagaan batu nisan dan kepok pusara yang dihasilkannya sejak tiga tahun lalu.
"Biasanya orang datang ke bazar untuk membeli makanan, jadi saya cuba bawa kepok ke sini kerana sekurang-kurangnya dalam ramai-ramai pengunjung, pasti ada yang bertanya," katanya.
Inisiatif itu disambut baik pengunjung termasuk Mohd Shahrulnizam Ikwan Abdullah yang menyifatkan ia memudahkan urusan mencari kepok tanpa perlu pergi ke tempat lain.
"Tidak perlu bersusah payah mencari di tempat lain, kebetulan lalu di bazar ini, boleh terus risik harga kepok. Senang, tak payah pergi jauh-jauh," katanya.
Peniaga lain termasuk Azhar Adam turut memberikan reaksi positif dan menyifatkan idea itu sebagai sesuatu yang unik serta jarang dilihat di bazar Ramadan lain.
"Orang lain jual makanan, dia jual batu nisan dan kepok. Ini pertama kali saya tengok di bazar, memang satu kelainan. Dalam masa sama, ia juga mengingatkan kita kepada kematian," katanya.
Sejak beroperasi pada 1 Ramadan lalu, perniagaan Che Mohamad Ibrahim menerima sambutan memberangsangkan daripada pengunjung bazar berkenaan.