fb fb fb fb fb

Peniaga, pengusaha PKS Pahang sambut baik kelonggaran e-Invois

Inisiatif itu memberi ruang kepada peniaga kecil untuk menumpu kepada operasi harian, tanpa terbeban dengan kos tambahan/ Foto LHDN

KUANTAN, 12 Disember - Peniaga serta pengusaha Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Pahang menyambut baik keputusan kerajaan menaikkan nilai ambang pengecualian e-Invois daripada RM500,000 kepada RM1 juta.

Rata-ratanya berpendapat, inisiatif itu memberi ruang kepada peniaga kecil untuk menumpu kepada operasi harian tanpa terbeban dengan kos tambahan, sekali gus menambah baik perusahaan masing-masing.
 
"Saya merasakan satu rangsangan buat kita. Tiada penambahan kos dari segi latihan kepada pekerja untuk invois. Saya sendiri pun belum lagi pergi kursus berkenaan e-Invois ini. Kos untuk kursus dan sebagainya boleh digunakan untuk menaik taraf tempat dan pekerja pun tidak terbeban dengan tugas baharu," menurut Mohd Yusof Jamal, pengusaha tadika dan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA).
 
"Kita rasa gembira, tetapi pada masa yang sama kita bersedia juga. Kita masih perlu bersedialah. Terima kasih untuk pengumuman pengecualian ini," kata pengusaha dodol, Suhanim Sahbudin.

"Sangat terhutang budi kepada PM kerana mengambil kira keperluan usahawan-usahawan kecil-kecilan ini. Syukur sangat, Alhamdulillah apabila tidak diwajibkan untuk melaksanakan e-Invois ini, duit itu boleh digunakan untuk menambah baik produk dan kedai supaya lebih maju lagi," ujar Zuliana Ahmad, pengusaha laksa sarang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan nilai ambang pengecualian e-Invois pada 6 Disember lalu sebagai langkah mengurangkan beban PKS, selepas mendengar rungutan peniaga kecil mengenai kos pelaksanaan sistem tersebut.

MASNIZA AWANG KECHIK