Pengusaha stesen minyak sambut baik larangan RON95 kepada kenderaan asing

Foto BERNAMA

TUMPAT, 1 April – Pengusaha stesen minyak terutama di kawasan sempadan Malaysia–Thailand di Kelantan menyambut baik penguatkuasaan larangan penjualan petrol RON95 kepada kenderaan bernombor pendaftaran asing yang berkuat kuasa hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengusaha sedia awal dengan taklimat dan arahan jelas kepada pekerja untuk memastikan pelaksanaan lancar.
  • Setakat ini tiada masalah dilaporkan dan tinjauan RTM mendapati pematuhan tinggi di stesen sekitar Tumpat.
  • Langkah membantu memastikan subsidi RON95 dinikmati rakyat tempatan dan mengurangkan ketirisan bahan api.
  • KPDN Kelantan lancar operasi selaras Peraturan 2026, gerakkan 140 pegawai untuk pemeriksaan dan pemantauan di 248 stesen.

Pengurus sebuah stesen minyak di Kampung Belukar, Tumpat, Ku Muhammad Farid Aidil Ku Din berkata, pihaknya bersedia lebih awal dengan memberikan taklimat serta arahan jelas kepada semua pekerja bagi memastikan pelaksanaan berjalan lancar.

Menurut Ku Muhammad Farid Aidil, setakat ini tiada sebarang masalah timbul sepanjang penguatkuasaan dilaksanakan.

Langkah kerajaan itu bukan sahaja membantu memastikan subsidi RON95 dinikmati sepenuhnya rakyat tempatan, malah mampu mengekang ketirisan bahan api ke negara jiran.

“Langkah ini memang banyak membantu dalam usaha mengurangkan ketirisan. Saya juga menyokong tindakan kerajaan yang tidak membenarkan RON95 dijual kepada kenderaan dengan nombor pendaftaran asing,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Sementara itu, tinjauan RTM di beberapa stesen minyak sekitar Tumpat turut mendapati pematuhan tinggi dalam kalangan pengusaha, dengan tiada kenderaan
asing dibenarkan mengisi RON95.

Dalam perkembangan sama, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan hari ini melancarkan Operasi Membanteras Penyelewengan Bahan Api Subsidi susulan penguatkuasaan larangan tersebut.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri KPDN Kelantan, Aswadi Jaafar berkata, pelaksanaan operasi itu adalah selaras dengan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Larangan Penjualan dan Pembelian Barang Kawalan) (Petrol RON95) 2026 bagi memastikan subsidi petrol disalurkan kepada rakyat Malaysia yang layak.

Bagi hari pertama, seramai 140 pegawai penguat kuasa digerakkan untuk menjalankan pemeriksaan, pemantauan serta advokasi di 248 stesen minyak di seluruh Kelantan.