KUALA LUMPUR, 1 November- Malaysia berminat meneroka potensi kerjasama dengan Belanda berkaitan pengurusan sumber air khususnya dalam cabaran perubahan iklim.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad menjelaskan Belanda berpengalaman luas dalam mengendalikan sumber airnya disebalik kedudukan geografinya yang rendah.
Malaysia juga boleh mengaplikasikan teknologi dan inovasi digunakan Belanda dalam pengurusan bencana berkaitan air termasuk banjir.
"Kami berharap untuk belajar daripada pengalaman negara anda sebagai negara bergeografi rendah dan dikelilingi air. Rangkaian komprehensif tambak, terusan dan pam ciptaan Belanda sejak ratusan tahun bukti kepakaran anda dalam pengurusan air.
Dalam pada itu, Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte menekankan kepentingan kedua-dua negara berkongsi kepakaran dan pengalaman dalam usaha menjamin sekuriti air.
"Semasa Malaysia dilanda musibah banjir pada 2021, Belanda telah membantu dengan menghantar sekumpulan pakar ke Malaysia.
"Menerusi Program Pengurangan Kemudaratan Bencana dan Program Bantuan Banjir kami berhasrat mengurangkan impak bencana berkaitan air dan perubahan iklim. Perkongsian ilmu, teknikal dan teknologi antara intipati utama dalam kerangka antarabangsa berdepan perubahan iklim", katanya.
Kedua pemimpin menyampaikan ucaptama pada sesi Dialog Air ke-enam, anjuran bersama kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dengan Kedutaan Belanda, bertemakan "Air dan Perubahan Iklim" di ibu negara.