Pengundi PRK Kinabatangan, Lamag diseru keluar mengundi

Pensyarah Fakulti Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Nizamuddin Alias

KUALA LUMPUR, 24 Januari – Pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) di Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag diseru menunaikan tanggungjawab mereka dengan keluar mengundi bagi menentukan kepimpinan yang mampu memperjuangkan kepentingan rakyat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengundi PRK Kinabatangan dan DUN Lamag diseru turun mengundi untuk menentukan kepimpinan yang memperjuangkan kepentingan rakyat.
  • Undi penting bagi memastikan suara rakyat didengar dan aduan disalurkan secara berkesan kepada pihak berkuasa.
  • Kawasan luar bandar masih memerlukan kemudahan asas seperti kesihatan dan infrastruktur yang perlu diperjuangkan wakil rakyat.
  • Hak memilih dijamin Perlembagaan; pengundi digalakkan jangan takut dan gunakan peluang ini untuk menyuarakan keperluan.

Pensyarah Fakulti Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Nizamuddin Alias berkata, tanggungjawab mengundi penting bagi memastikan suara rakyat terus didengar dan dibela.

“Kawasan seperti Kinabatangan dan beberapa DUN luar bandar masih memerlukan pelbagai kemudahan asas, termasuk kesihatan dan infrastruktur.

“Dengan memilih wakil rakyat, penduduk boleh menyalurkan aduan serta cadangan secara berkesan kepada pihak berkuasa negeri atau persekutuan, berbanding hanya meluahkan ketidakpuasan di platform yang tidak sepatutnya seperti media sosial,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia (SPM) di Angkasapuri Kota Media, hari ini.

Tambah beliau, hak memilih wakil rakyat dijamin mengikut Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan dan merupakan keistimewaan setiap warganegara.

“Jangan takut atau gentar. Ini adalah peluang untuk memastikan wakil rakyat menyuarakan keluh kesah dan keperluan anda secara langsung,” katanya.

Sebanyak 36 pusat mengundi dibuka bermula pukul 7.30 pagi tadi dengan kebanyakan ditutup pada 5.30 petang.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 48,282 pengundi terlibat dalam proses pengundian bagi memilih wakil rakyat baharu Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag.

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Disember tahun lepas.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan