PUTRAJAYA 24 Julai - Inisiatif penghargaan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam disambut baik oleh semua lapisan masyarakat, termasuk penjawat awam dan rakyat.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, Perdana Menteri begitu prihatin dengan keperluan rakyat di kala keadaan ekonomi yang agak menekan di negara ini.
Ini menunjukkan, segala yang dikatakan Rukun Ihsan itu sebenarnya dipraktik dalam perkara yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan.
Jelasnya, bantuan tersebut sangat memberikan kebaikan kepada rakyat sekurang-kurangnya dapat menampung perbelanjaan dalam mengharungi kehidupan pada hari ini.
"Saya juga berpandangan perkara seperti ini perlu diterjemahkan oleh penjawat awam melalui usaha kerja yang lebih gigih dan dedikasi tinggi dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat. Hal ini adalah selaras dengan apa yang telah digariskan oleh kerajaan.
"Justeru, saya menyeru semua penjawat awam agar sentiasa mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pucuk pimpinan negara, kerana sebagai penjawat awam, kita bertanggungjawab untuk mendukung segala dasar yang ditetapkan oleh kerajaan," katanya.
Mengulas mengenai cuti pada 15 September 2025 bersempena Sambutan Hari Malaysia, beliau berkata inisiatif itu merupakan langkah baharu yang mencerminkan keprihatinan terhadap keseimbangan antara kerja dan kehidupan rakyat.
"Kita ingin bersama-sama merayakan pembentukan Malaysia dan bersempena dengan itu, Perdana Menteri telah mengisytiharkan satu hari cuti tambahan yang memberi peluang kepada kita semua untuk berganding bahu dan meraikan Hari Malaysia dengan penuh semangat.
"Hari Malaysia merupakan satu peristiwa penting yang perlu diberikan fokus oleh seluruh rakyat Malaysia, selain daripada sambutan Hari Kemerdekaan.
"Tambahan pula, cuti ini memberi ruang untuk meluangkan masa bersama keluarga, sekali gus mewujudkan suasana yang lebih harmoni dan erat dalam kalangan masyarakat. Sambutan Hari Malaysia ini bukan sahaja mengukuhkan semangat perpaduan, tetapi juga mengingatkan kita akan pentingnya kerjasama dan kesatuan dalam membina negara," kata beliau ketika menyampaikan penghargaan mewakili penjawat awam kepada Perdana Menteri.