
KUALA LUMPUR, 20 Januari -Pengukuran Pembelajaran Tahun Empat yang akan diperkenalkan mulai tahun ini disifatkan sebagai langkah proaktif kerajaan untuk menilai pencapaian akademik murid lebih awal.
- Pengukuran Tahun Empat bantu kenal pasti kelemahan murid seawal tahun empat untuk diperbaiki pada tahun lima dan enam.
- Penilaian diselaraskan oleh kementerian dengan soalan standard, tidak membebankan kerana serupa peperiksaan sedia ada.
- Tujuan ialah penilaian perkembangan pembelajaran supaya guru boleh merancang pendekatan pengajaran lebih sesuai.
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Taman Midah dan SMK Bandar Tasik Selatan, Noorfaizul Arni Basyuni berkata, inisiatif itu memberi ruang penambahbaikan berperingkat sebelum murid melangkah ke tahap seterusnya.
Menurut beliau, kelemahan murid dapat dikenal pasti seawal tahun empat dan diperbaiki ketika mereka berada di tahun lima dan tahun enam.
Katanya, murid pada peringkat tersebut sudah matang serta biasa dengan budaya peperiksaan sekolah, justeru pengukuran yang diselaraskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia tidak akan membebankan.
“Peperiksaan ini tidak jauh berbeza dengan peperiksaan sedia ada di sekolah.
Bezanya, ia diselaraskan oleh kementerian dengan soalan standard, sekali gus memudahkan urusan pihak sekolah,” katanya ketika ditemui di Angkasapuri Kota Media.
Mengulas kebimbangan ibu bapa mengenai tekanan tambahan kepada murid, Noorfaizul berkata, pengukuran itu tidak wajar dianggap sebagai beban.
Jelas beliau, murid sekolah rendah sememangnya menduduki peperiksaan dua kali setahun.
Beliau menegaskan, pengukuran berkenaan bukan peperiksaan besar seperti sebelum ini yang menjadi penentu hala tuju murid, sebaliknya bersifat penilaian perkembangan pembelajaran.
“Ia bukan untuk melayakkan murid ke sekolah tertentu, tetapi sebagai alat penilaian supaya guru dapat merancang pendekatan pengajaran yang lebih sesuai,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Noorfaizul turut menyambut baik peruntukan RM100 juta yang diumumkan kerajaan bagi menaik taraf bilik guru.
Menurut beliau, penambahbaikan itu dijangka meningkatkan kesejahteraan serta motivasi guru, sekali gus memberi kesan positif kepada kualiti pengajaran dan pembelajaran.