Pengukuran Pembelajaran Tahun Empat kenal pasti masalah keciciran

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 22 Januari – Pelaksanaan Pengukuran Pembelajaran Tahun Empat yang akan dilaksanakan bermula tahun ini berpotensi membantu mengenal pasti masalah keciciran pembelajaran dan memberi ruang serta masa untuk pelajar memperbaiki kelemahan sebelum melangkah ke sekolah menengah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengukuran Pembelajaran Tahun Empat membantu kenal pasti kelemahan pembelajaran awal untuk intervensi lebih tersasar.
  • Ia memberi peluang kepada murid memperbaiki prestasi dalam darjah lima dan enam sebelum ke sekolah menengah.
  • Program ini disokong sebagai pengganti UPSR untuk menilai kemampuan pelajar lebih awal dan memperbaiki hasil pendidikan.

Seorang pekerja swasta, Rashid Shikh Abdullah berkata, perkara itu adalah sesuatu yang positif kerana sekiranya ada murid-murid tidak dapat keputusan yang baik, mereka masih ada masa untuk memperbaiki diri sebelum melangkah ke peringkat menengah.

“Saya melihat benda Ini sebagai satu usaha yang positif di mana kalau andai kata darjah empat tu adalah budak-budak ataupun pelajar-pelajar yang tidak dapat keputusan yang baik. Paling tidak, dia akan ada darjah lima dan darjah enam untuk dia mengubah atau berusaha untuk mendapatkan keputusan yang lebih baik daripada darjah empat.

“Pada pendapat saya, Pengukuran Pembelajaran Tahun Empat mempunyai kebaikan kepada pelajar-pelajar,” katanya ketika ditemui RTM, hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035 berkata, Pengukuran Pembelajaran Tahun Empat akan dilaksana mulai 2026 membabitkan empat mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

Beliau dilaporkan berkata, pendekatan itu bertujuan memastikan tahap penguasaan murid dapat dikenal pasti lebih awal seterusnya membolehkan intervensi dibuat secara lebih tersasar bagi meningkatkan kualiti pendidikan.

Sementara itu, seorang lagi pekerja swasta, Mohd Fuad Mohd Noor menyataan sokongannya terhadap usaha kerajaan memperkenalkan model pentaksiran baharu itu bagi mengenal pasti kelemahan pelajar lebih awal.

“Untuk pentaksiran darjah empat, saya memang menyokonglah usaha kerajaan memperkenalkan pentaksiran darjah empat bagi menggantikan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Sekurang-kurangnya menjelang kemasukan Tahun 5 dan Tahun 6, kita tahu kemampuan pelajar-pelajar ini.

“Jadi benda itu boleh dibaik pulih untuk ke Tahun 5 dan Tahun 6. Kalau Tahun 6 nak ke Tingkatan 1, kita dah masuk sekolah lain, jadi lebih baik ada Pengukuran Pembelajaran Tahun Empat ini,” katanya.