ABU DHABI, 13 November- Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tiba di Lapangan Terbang Eksekutif Al Bateen, Abu Dhabi, pukul 3.12 petang waktu tempatan bagi lawatan rasmi bermula 13 hingga 19 November ini.
Ketibaan beliau menaiki pesawat khas, disambut Menteri Infrastruktur dan Tenaga Emiriah Arab Bersatu (UAE), Suhail Mohamed Al Mazrouei.
Turut mengiringi, bakal Duta Malaysia ke UAE, Tengku Datuk Sirajuzzaman Tengku Mohamed Ariffin.
Sejurus tiba, beliau mempengerusikan mesyuarat pre-council di Hotel Emirates Palace bersama pegawai kedutaan Malaysia, wakil Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta agensi terlibat.
Lawatan tujuh hari Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid bertujuan mengukuhkan kerjasama dua hala dengan penekanan khusus kepada sektor utama.
Antaranya, industri halal, Pendidikan dan Latihan Teknikal serta Vokasional (TVET) selain kecerdasan buatan (AI).
Delegasi Malaysia juga dijadual mengunjungi Mohamed bin Zayed University of Artificial Intelligence dan berinteraksi dengan wakil syarikat AI terkemuka UAE, G42.