
KUALA LUMPUR, 11 Januari– Skor dan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (IPR) bagi tahun 2025 dijangka menunjukkan peningkatan, susulan usaha berterusan kerajaan bersama agensi berkaitan dalam memperkukuh penguatkuasaan serta integriti pentadbiran negara.
- Penguatkuasaan tegas terhadap kes rasuah berprofil tinggi dijangka tingkatkan skor IPR 2025.
- EAIC merangka pelan tindakan 10 tahun untuk kukuhkan integriti dan akauntabiliti agensi penguatkuasaan.
- Pelan termasuk kursus integriti, peningkatan ketelusan dan latihan berterusan kepada anggota penguat kuasa.
- Pendedahan statistik penguatkuasaan dan saluran laporan mesra pengguna termasuk laman web dan WhatsApp.
Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Asliza Ali berkata Malaysia merekodkan skor 50 daripada 100 mata dan berada di kedudukan ke-57 daripada 180 negara bagi IPR 2024.
Beliau optimis pencapaian tersebut dapat dipertingkatkan berikutan tindakan tegas terhadap kes rasuah berprofil tinggi sepanjang tahun lalu.
“Setakat ini, dari sudut penguatkuasaan, saya melihat tindakan yang dilaksanakan adalah sangat baik bagi tahun 2025. Selain itu, kebebasan asas dan hak asasi seperti kebebasan berhimpun serta kebebasan bersuara juga tidak dihalang. Contohnya, pergerakan oleh badan peguam dapat dijalankan tanpa sebarang sekatan atau halangan daripada pihak polis.”
“Keadaan ini, pada pandangan saya, akan menyumbang kepada peningkatan skor Indeks Persepsi Rasuah negara,” katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media, hari ini.
Dalam pada itu, EAIC turut merangka pelan tindakan jangka panjang selama 10 tahun bagi memperkukuh integriti dan akauntabiliti dalam kalangan agensi penguatkuasaan.
Pelan berkenaan merangkumi pelaksanaan kursus pengukuhan integriti, peningkatan tahap ketelusan serta latihan berterusan kepada anggota penguat kuasa.
Sebagai langkah meningkatkan keyakinan masyarakat, pendedahan statistik tindakan penguatkuasaan kepada umum akan dilaksanakan, selain pengenalan saluran pelaporan mesra pengguna bagi memudahkan orang ramai menyalurkan aduan.
Saluran tersebut termasuk penggunaan platform dalam talian seperti laman web dan aplikasi WhatsApp, dengan jaminan kerahsiaan identiti pemberi maklumat.