
PUTRAJAYA, 10 April – Penguatkuasaan dan pemantauan terus diperkukuh bagi membanteras penyelewengan diesel bersubsidi, khususnya kegiatan ‘channel switching’ yang melibatkan syarikat korporat dan industri.
- Kerajaan memandang serius penyelewengan subsidi kerana menjejaskan keberkesanan penyasaran bantuan kepada golongan layak.
- Channel switching berlaku apabila syarikat yang sepatutnya membeli pada harga pasaran membeli diesel di stesen pada harga pam lebih rendah.
- Kerajaan menggesa hentikan amalan itu atau berdepan tindakan penguatkuasaan; pemantauan berterusan bagi memastikan subsidi sampai kepada yang benar-benar memerlukan.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata kerajaan memandang serius kegiatan itu kerana ia menjejaskan keberkesanan penyasaran subsidi yang disediakan untuk golongan layak.
Beliau berkata kegiatan ‘channel switching’ berlaku apabila syarikat yang sepatutnya membeli minyak terus daripada syarikat minyak pada harga pasaran bertindak mendapatkan bekalan diesel di stesen minyak pada harga pam yang lebih rendah.
“Korporat dan industri yang sepatutnya membeli minyak secara terus dari syarikat minyak pada harga pasaran secara diam-diam membeli harga pam.
“Harga pasaran RM7.00 hingga RM8.00 seliter adalah jauh lebih tinggi, berbanding dengan harga diesel di stesen minyak pada RM6.72 yang sebahagian daripada kosnya masih lagi diserap oleh kerajaan”, katanya pada Taklimat Krisis Tenaga Global hari ini.
Sehubungan itu, Datuk Seri Amir Hamzah menegaskan kerajaan menggesa syarikat-syarikat terlibat supaya menghentikan segera amalan berkenaan atau berdepan tindakan penguatkuasaan.
Beliau berkata langkah pemantauan berterusan itu penting bagi memastikan subsidi diesel tidak disalah guna serta sampai kepada kumpulan sasar yang benar-benar memerlukan.