fb fb fb fb fb

Pengoperasian penuh HPUnisza tahun depan

(Datuk Seri Khaled berkata pengoperasian itu merupakan fasa pertama dan tiga lagi fasa akan
dilaksanakan termasuk perkhidmatan pembedahan, kecemasan dan trauma)

KUALA NERUS, 6 Ogos- Perkhidmatan pesakit luar Hospital Pengajar Universiti Sultan Zainal Abidin (HPUnisza) yang dibuka kepada orang awam sejak 1 Ogos lalu telah menerima 312 pesakit setakat ini.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin berkata pengoperasian itu merupakan fasa pertama dan tiga lagi fasa akan dilaksanakan termasuk perkhidmatan pembedahan, kecemasan dan trauma.

Pengoperasian sepenuhnya HPUnisza akan bermula tahun hadapan.

Kata beliau penubuhan HPUnisza juga berfungsi mengurangkan kesesakan di Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu.

Penerokaan bidang baharu seperti perkongsian sumber, penyelarasan data pesakit dan peningkatan kepakaran akan diwujudkan melalui kerjasama Lapan Hospital Pengajar Universiti Awam di Malaysia termasuk Pusat Perubatan Universiti Malaya.

HPUNISZA akan meningkatkan kapasiti dan kualiti latihan klinikal bagi pelajar Perubatan dan Sains Kesihatan serta menyediakan kepakaran kesihatan yang berkualiti kepada penduduk Terengganu dan Pantai Timur amnya.

"Hospital pengajar ini akan meningkatkan lagi sumbangan kepada universiti dan masyarakat dan memang ditekankan kepada universiti iaitu mereka bersedia pulangkan balik kepada masyarakat.

"Ini antara perkara yang boleh mereka lakukan. Mereka telah merancang dengan membuka perkhidmatan pakar untuk penduduk setempat dan banyak lagi yang telah mereka rancang," kata Khaled selepas merasmikan Pengoperasian Perkhidmatan Klinik Pakar Pesakit Luar HPUNISZA di sini.

HPUnisza berkapasiti 200 katil dan memiliki lebih 60 pakar perubatan termasuk 862 kakitangan.

(Datuk Seri Khaled di majlis perasmian Pengoperasian Perkhidmatan Klinik Pakar Pesakit
Luar HPUNISZA)

Media Baharu