SEGAMAT, 23 Mac-Dua set tren elektrik (ETS) dijangka tiba dari China pada bulan depan dan dijangka beroperasi pada Ogos ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata Kedua-dua tren tersebut akan melalui proses pemeriksaan selama tiga hingga empat bulan, sebelum memulakan operasi.
Menurutnya, tren tersebut, bersama lapan set tren yang sedang dipasang di Batu Gajah, Perak, akan melengkapkan jajaran selatan negara, berikutan pengoperasian perkhidmatan ETS di Segamat, pada 15 Mac lalu.
"Kita tak tunggu semua 10 set tiba baru kita beroperasi. Kita mula dulu dengan mana-mana set yang telah siap.
"Jadi akan kita tambah kekerapan dan juga tambah destinasi.
"Itulah sebab saya katakan kita secara berfasa. Untuk Gemas sampai Johor baharu akan ada tiga fasa.
"Fasa pertama sampai Segamat. Fasa kedua sampai Keluang. Fasa ketiga baru sampai JB Sentral", katanya demikian ketika ditemui pemberita semasa lawatan kerja, menaiki Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dari KL Sentral ke Stesen Keretapi Segamat di sini.
Tambahnya, perkhidmatan ETS akan menawarkan tempat duduk kelas perniagaan premium untuk memberikan keselesaan kepada penumpang.
Selain itu, Perbadanan Aset Keretapi (RAC), memperuntukkan RM300,000 untuk pembinaan jejambat, menghubungkan Stesen Keretapi Segamat dengan Terminal Bas, yang dijangka siap Oktober ini.