Penglibatan wanita dalam ekonomi digital, diperkasa

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching /Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 11 Mac– Penglibatan wanita dalam ekonomi digital akan terus diperkasa menerusi pelbagai inisiatif termasuk peningkatan kemahiran kecerdasan buatan (AI) dan kesedaran keselamatan siber.

RINGKASAN BERITA AI
  • Program kembali bekerja diutamakan untuk membantu wanita menyertai semula tenaga kerja dan memegang peranan penting dalam sektor teknologi.
  • Malaysia menetapkan sasaran sekurang-kurangnya 30% wanita dalam jawatan membuat keputusan di sektor awam dan swasta.
  • Pengaturan kerja fleksibel dan program bimbingan tersusun disokong untuk kesejahteraan, kelestarian dan kepimpinan inklusif wanita.

Jelas Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, program kembali bekerja akan diberi keutamaan bagi membantu golongan berkenaan menyertai semula tenaga kerja serta memegang peranan penting dalam sektor teknologi.

“Malaysia telah menetapkan aspirasi nasional untuk mencapai sekurang-kurangnya 30% wanita dalam jawatan membuat keputusan di sektor awam dan swasta. Cabaran kini bukan lagi berkaitan keupayaan sebaliknya mengenai mempercepatkan akses, peluang, dan laluan yang lebih tersusun ke arah kepimpinan. Seiring dengan itu, peranan wanita dalam bidang teknologi juga terus berkembang secara berterusan”

Teo berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Wanita Antarabangsa anjuran Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (PIKOM) di Ibu Negara.

Teo menambah, sebagai menyokong usaha wanita kembali ke alam pekerjaan juga, pengaturan kerja fleksibel serta program bimbingan yang tersusun kekal sebagai langkah menyokong usaha tersebut.

Terdahulu, sesi perbincangan bertajuk Balance of Scale: Career Growth vs Sustainability in the Digital Workforce telah diadakan bagi membincangkan bagaimana wanita dalam sektor teknologi menyeimbangkan kemajuan kerjaya dengan aspek kelestarian, kesejahteraan dan kepimpinan inklusif.