fb fb fb fb fb

Penggunaan ubat PrEP, analisis awal penggunaan beri impak positif

Sehingga bulan keenam penggunaan PrREP, terdapat beberapa impak positif seperti penurunan kadar jangkitan penyakit sifilis / Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 11 Disember - Seramai 3,041 individu telah menerima penggunaan ubat Pre Exposure Prophylaxis (PrEP), sehingga 31 Oktober lalu.

Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni berkata berdasarkan analisis awal sehingga bulan keenam penggunaan PrREP, terdapat beberapa impak positif seperti penurunan kadar jangkitan penyakit sifilis.

"Hasil dapatan awal kajian ini menunjukkan bahawa klien yang mengambil PrEP mematuhi dan mengamalkan nasihat pencegahan jangkitan HIV melalui penggunaan kondom secara konsisten dan perubahan tingkah laku yang lebih baik, walaupun sedang menggunakan PrEP," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara, di sini.

Penjelasan itu bagi menjawab soalan asal yang dibangkitkan Senator Datuk Husain Awang.

Tambah Lukanisman, pelaksanaan projek rintis PrEP telah dilaksanakan di 18 Klinik Kesihatan di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) selama 12 bulan sejak Januari tahun ini.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN