fb fb fb fb fb

Penggunaan roda tiga tertakluk kepada peraturan ketat

Anthony Loke Siew Fook

KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Kementerian Pengangkutan menegaskan penggunaan motosikal roda tiga di negara ini tertakluk kepada peraturan ketat termasuk aspek pendaftaran, kelulusan teknikal dan pematuhan ciri keselamatan sebelum dibenarkan digunakan di jalan raya.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, ketetapan itu selaras dengan Seksyen 66(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) serta Kaedah 121A, Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Pembinaan dan Penggunaan) 1959.

"Seksyen 66(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 memperuntukkan bahawa kaedah-kaedah boleh ditetapkan berhubung pembinaan, penyelenggaraan, penggunaan, usia, dan kelengkapan sesuatu kenderaan, termasuk syarat-syarat bagaimana kenderaan motor boleh digunakan di jalan raya.

"Selaras dengan peruntukan ini, Kaedah 121A telah menetapkan peraturan terperinci mengenai penggunaan motosikal roda tiga sama ada untuk persendirian atau membawa barangan. Jika digunakan untuk barangan, motosikal berkenaan wajib dilengkapi ruangan atau kotak khas yang memenuhi spesifikasi teknikal," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Sabak Bernam, Kalam Salan berkenaan pertimbangan penggunaan kenderaan roda tiga Pakej Accelerator Kurier Negara (PAKEJ) yang diperkenalkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan kegunaan petani serta pekebun kecil mengangkut hasil pertanian.

Tambahnya, motosikal roda tiga kategori side car (L4) merupakan antara contoh yang telah berdaftar dan dilesenkan sebagai kenderaan barangan, namun tertakluk kepada pemeriksaan berkala setiap enam bulan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) bagi menjamin keselamatan serta kelayakan teknikal.

"Peraturan semasa menetapkan bahawa motosikal roda tiga yang digunakan untuk membawa barangan perlu didaftarkan, dilesenkan dan dipastikan selamat digunakan di jalan raya.

"Ini termasuk mematuhi ketetapan pembinaan, memperoleh Sijil Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA) daripada JPJ, kelulusan teknikal bagi pengubahsuaian, pendaftaran sebagai kenderaan barangan, serta lesen memandu Kelas C dan Lesen Vokasional GDL untuk penunggang. Kementerian sentiasa terbuka membantu petani dan pekebun kecil yang ingin menggunakan kenderaan ini termasuk dari aspek teknikal VTA," katanya lagi.

Tegasnya, pendekatan itu bertujuan memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terjamin, selain memberi kemudahan kepada golongan tertentu seperti petani dalam urusan pengangkutan hasil pertanian.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI