fb fb fb fb fb

Pengguna media sosial diingatkan tidak bangkitkan sentimen kebencian dan provokasi

(Foto fail)

CYBERJAYA, 22 November- Orang ramai dinasihatkan agar berhemah dan menjauhkan diri daripada memberi pandangan yang berbaur kebencian membabitkan kaum dan agama.

Pengerusi Interim Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dalam satu kenyataan berkata semua pihak harus menghormati keputusan pilihan raya dan pemilihan Perdana Menteri yang akan dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong dengan hati terbuka.

Sehubungan itu, MCMC akan terus membuat pemantauan bagi membendung penyebaran maklumat yang tidak sahih dan kenyataan bersifat jelik membabitkan unsur 3R iaitu Raja, Agama dan Kaum.

"Sebarang perkongsian kandungan bersifat palsu, jelik dan mengancam merupakan satu kesalahan bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

"Sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali," menurut kenyataan itu.

Tindakan penguatkuasaan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan diambil terhadap mereka yang terlibat berdasarkan aduan daripada orang awam mengikut peruntukan undang-undang sedia ada demi melindungi ketenteraman dan kepentingan masyarakat.

Laporkan insiden atau kandungan yang bersifat hasutan, provokasi ataupun yang menghina kepada MCMC melalui portal Aduan MCMC di pautan https://aduan.skmm.gov.my/.

Orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat atau melaporkan berita palsu melalui pautan https://sebenarnya.my/salur/.

(Pengguna media sosial diingatkan tidak bangkitkan sentimen kebencian dan provokasi)

Media Baharu