fb fb fb fb fb

Penggiat industri dan petugas media berstatus kontrak perlu dilindungi Perkeso- Fahmi

Fahmi Fadzil melakukan tinjauan di Pusat Panggilan Kerajaan (MyGCC) di Cyberjaya

CYBERJAYA, 15 Januari- Fokus utama Kementerian Komunikasi adalah memastikan semua pekerja media dan penggiat industri yang berkontrak mendapat perlindungan Perkeso dengan sewajarnya.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mengulas mengenai isu beberapa selebriti yang ditamatkan kontrak perkhidmatan baru-baru ini.

Jelasnya, Kementerian Komunikasi sentiasa prihatin kepada pihak yang terkesan dan kerajaan sedia mendengar isu dan pandangan mereka.

"Saya lihat ada ruang untuk saya mendapatkan sedikit pandangan daripada pihak yang mungkin terkesan. Sekarang fokus saya adalah untuk pastikan sekiranya ada kontrak, maka aspek aspek keselamatan sosial melalui Perkeso termasuk dalam kontrak tersebut khusus berkait dengan 'stinger' atau wartawan sambilan, untuk pelakon dan krew perfileman ataupun seni persembahan.

"Jadi saya lihat sekarang banyak daripada isu kontrak yang kita teliti adalah lebih bersifat kepada isu keselamatan sosial,"katanya.

Beliau ditemui selepas melakukan tinjauan di Pusat Panggilan Kerajaan (MyGCC) di Cyberjaya hari ini.

Agensi itu merupakan pusat panggilan setempat yang beroperasi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu buat
rakyat.

MyGCC adalah antara lapan agensi bawah seliaan Kementerian Komunikasi yang menjadi platform memudahkan komunikasi orang awam bersama kerajaan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE