fb fb fb fb fb

Pengerusi TH dinobat tokoh utama Maal Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar menyampaikan anugerah tokoh utama Maal Hijrah kepada Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) Tan Sri Abdul Rashid Hussain (tiga dari kanan)

KUALA LUMPUR, 11 Julai - Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) Tan Sri Abdul Rashid Hussain diumumkan sebagai penerima Tokoh Utama Maal Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan.

Anugerah itu disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar sempena sambutan Maal Hijrah 1446H/2024M di Dewan Serbaguan Masjid Wilayah Persekutuan, di sini hari ini.

Penerimaan anugerah itu merupakan tanda pengiktirafan atas kejayaan beliau selepas kerajaan Arab Saudi menobatkan Malaysia melalui TH sebagai penerima Anugerah Labbaittom bagi kategori kepuasan tertinggi dalam perkhidmatan buat kali ketiga berturut-turut pada 19 Jun lalu.

"Alhamdulillah pilihan ini saya tak sangka dan saya fikir saya tak layak tapi saya tetap bersyukur, walaupun sebelum ni sudah bersara. Saya sanggup balik bekerja bersungguh-sungguh untuk memperbaiki dan meningkatkan demi Tabung Haji untuk meyakinkan kepada semua pendeposit dan duit mereka dalam keadaan selamat," katanya ketika ditemui RTM.

Beliau yang juga pengasas kumpulan RHB Bank turut menyatakan perkhidmatan di Tabung Haji merupakan kemuncak dari kerjayanya bagi membantu meningkatkan kualiti Tabung Haji yang sedia ada selain mahu meneruskan berbakti kepada masyarakat terutamanya buat umat Islam di negara ini.

Abdul Rashid turut terlibat dalam kegiatan kemasyarakatan seperti wakaf pembangunan masjid dan pusat kebajikan bagi golongan asnaf.

GRACE AISYAH KEDAYAN