fb fb fb fb fb

Pengendali akaun MyNewshub dipanggil SKMM

Pengendali akaun Mynewshub dipanggil untuk dirakam percakapan susulan tindakan memuat naik dan memainkan semula klip video lama

KUALA LUMPUR, 12 April - Pengendali akaun MyNewsHub dipanggil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk dirakam percakapan susulan tindakan portal tempatan itu memuat naik dan memainkan semula klip video lama yang menyebabkan kekeliruan dalam kalangan pengguna media sosial.

"MCMC memandang serius penularan video berdurasi 1 minit 10 saat dengan tajuk, "Tanya pasal kuarters jer dh kene mcm tu depan KSN!!" yang dilihat berniat untuk membina persepsi negatif terhadap penjawat awam," menurut kenyataan itu hari ini.

SKMM menjelaskan berdasarkan kenyataan media Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), video tersebut merupakan simulasi kesiapsiagaan anggota keselamatan sekiranya berdepan dengan situasi serangan provokatif.

Tambah SKMM, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

"Orang ramai diingatkan agar tidak menyalahgunakan perkhidmatan rangkaian dan perkhidmatan aplikasi dalam talian untuk menyebarkan sebarang kandungan tidak sahih atau palsu," katanya.

Terdahulu, RTM melaporkan JPA tampil menjelaskan sebuah video tular di media sosial memaparkan polis bantuan cuba ‘menghalang’ seorang individu menaiki pentas di suatu majlis yang mana melibatkan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali pada ketika video itu dirakam.

GRACE AISYAH KEDAYAN