fb fb fb fb fb

Pengeluaran getah asli Malaysia menyusut 5.1% pada Disember 2024

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 13 Februari- Pengeluaran getah asli menurun 5.1 peratus pada bulan Disember 2024 iaitu sebanyak 38,299 tan metrik berbanding pada bulan November 2024 (40,341 tan metrik).

Menerusi satu kenyataan, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata perrbandingan tahun ke tahun menunjukkan pengeluaran getah asli meningkat 26.2 peratus.

Jelasnya pengeluaran getah asli pada Disember 2024 rata-ratanya disumbangkan oleh sektor pekebun kecil iaitu sebanyak 89.4 peratus berbanding sektor estet.

Beliau berkata, jumlah stok getah asli pada Disember 2024 meningkat 1.4 peratus kepada 167,745 tan metrik berbanding 165,384 tan metrik pada November 2024.

Kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 88.7 peratus diikuti kilang pengguna getah 11.2 peratus dan estet getah 0.1 peratus.

"Eksport getah asli Malaysia berjumlah 44,338 tan metrik pada Disember 2024, meningkat 1.8 peratus berbanding November 2024 (43,562 tan metrik).

"China terus kekal sebagai destinasi utama untuk eksport getah asli iaitu berjumlah 49.0 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada Disember 2024 diikuti Jerman (12.9%), Emiriah Arab Bersatu (7.3%), Amerika Syarikat (3.7%) dan Portugal (3.3%).

"Harga purata bulanan menunjukkan Lateks Pekat merekodkan peningkatan iaitu 2.3 peratus (Disember 2024: 699.35 sen sekilogram; November 2024: 683.48 sen sekilogram) manakala Sekerap meningkat sebanyak 3.9 peratus (Disember 2024: 757.28 sen sekilogram; November 2024: 728.68 sen sekilogram)," menurut kenyataan tersebut.

Prestasi suku keempat 2024 menunjukkan pengeluaran getah asli meningkat 10.7 peratus kepada 117,040 tan metrik berbanding 105,715 tan metrik pada suku ketiga 2024.

Prestasi pertumbuhan tahunan pengeluaran getah asli Malaysia pada suku keempat 2024 pula mencatatkan peningkatan 24.6 peratus berbanding suku keempat 2023 (93,956 tan metrik).

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE