fb fb fb fb fb

Pengelasan isi rumah perlu ambil kira faktor geografi - KRI

Foto arkib RTM (Foto kecil: Dr. Suraya Ismail)

KUALA LUMPUR, 19 Januari- Pengelasan semula isi rumah perlu mengambil kira faktor geografi bagi mencerminkan realiti perbelanjaan sebenar, kata Pengarah Kajian Khazanah Research Institute (KRI) Dr. Suraya Ismail.

Beliau menjelaskan pengelasan sedia ada tidak lagi menggambarkan corak perbelanjaan yang seragam, justeru pendekatan berdasarkan lokaliti atau bandar wajar dipertimbangkan dalam pengelasan baharu.

Menurut Dr. Suraya, perbezaan antara perbelanjaan di kawasan seperti Ipoh dan Gerik, Hulu Perak, menunjukkan keperluan untuk pengelasan yang lebih spesifik.

"Saya lebih suka jika pengelasan dibuat pada peringkat bandar. Contohnya, perbelanjaan di Ipoh dan Gerik, Hulu Perak, tentu sekali tidak sama. Jadi, perlu ada pengelasan pada tahap bandar dan juga di kawasan (luar bandar) seperti Gerik.

"Dengan lebih banyak data, kita boleh memulakan usaha ini, tentunya dengan bantuan kerajaan kerana perkara ini memerlukan pendekatan menyeluruh," katanya kepada RTM di Angkasapuri, Kota Media di sini.

Dr. Suraya turut mencadangkan agar pengelasan semula isi rumah dilakukan setiap 10 tahun bagi memastikan ia relevan dengan perubahan ekonomi dan masyarakat.

Beliau menambah bahawa perubahan gaya hidup dan struktur keluarga turut mempengaruhi keperluan serta perbelanjaan isi rumah, sekali gus menjadikan pengelasan yang dinamik amat penting.

SITI AISHAH MD ISA