
TUMPAT, 10 Januari – Langkah kerajaan mengecualikan cukai perkhidmatan (SST) ke atas sewaan atau pajakan bagi perniagaan baharu disambut baik oleh peniaga Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di Kelantan, yang menyifatkannya sebagai bantuan tepat pada masanya.
- Pengecualian SST sewaan untuk PMKS baru memberi ruang tunai dan fokus kepada pembelian stok serta pemasaran.
- Kadar SST sewaan dikurangkan dari lapan peratus kepada enam peratus, berkuatkuasa 1 Jan 2026.
- Had jualan PMKS dikecualikan dinaikkan kepada RM1.5 juta; pengecualian sewaan diberikan selama setahun dari tarikh pendaftaran.
Inisiatif itu membolehkan peniaga menumpukan modal kepada pembelian stok dan membantu aliran tunai, terutama ketika perniagaan masih membina pelanggan.
Usahawan Anis Ayuni Mohammed berkata, pengumuman tersebut tepat pada masanya dan sangat melegakan kami sebagai peniaga kecil, terutamanya kepada peniaga yang baru nak bermula.
“Pengumuman ini boleh membantu kami untuk menguruskan balik perbelanjaan kami, duit yang ada tu boleh kami uruskan dahulu kos barang mentah dan digunakan sebagai kos pemasaran kepada perniagaan kami,” katanya.
“Jualan masih dalam proses membina pasaran, tetapi dengan pengecualian sewaan SST ini, kami ada ruang bernafas untuk teruskan operasi dan pemasaran. Ia secara tidak langsung membantu mengurangkan tekanan dari segi kewangan,” jelas Farhaany Nawawi.
Bagi Yusnita Che Pa pula, langkah itu memberikan peluang kepada perniagaan baharu menyesuaikan diri dalam pasaran.
“Alhamdulillah, saya menyambut baik. Saya kira ini satu peluang yang kerajaan bagi pada perniagaan baru macam saya ni PMKS untuk memberi nafas dan ruang dalam proses baru nak bertatih dalam perniagaan, untuk pemasaran cara baru,” katanya.
Pada 5 Januari lalu, kerajaan mengumumkan beberapa penambahbaikan dasar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) berkuatkuasa 1 Januari 2026, termasuk penurunan kadar cukai perkhidmatan ke atas sewaan atau pajakan daripada lapan peratus kepada enam peratus.
Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan had jualan tahunan penyewa dalam kategori PMKS yang dikecualikan daripada pembayaran SST turut dinaikkan daripada RM1 juta kepada RM1.5 juta.
Selain itu, PMKS yang baru menubuhkan perniagaan akan menikmati pengecualian SST ke atas sewaan atau pajakan bagi tempoh setahun bermula dari tarikh pendaftaran syarikat.