fb fb fb fb fb

Pengasas KK Mart mohon ampun kepada Agong serta umat Islam

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd Datuk Seri Dr Chai Kee Kan di Istana Negara hari ini/Foto Facebook Sultan Ibrahim

KUALA LUMPUR, 3 April - Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd Datuk Seri Dr Chai Kee Kan di Istana Negara hari ini.

Menerusi hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, sesi mengadap Seri Paduka Baginda berlangsung selama 15 minit.

Dalam sesi mengadap itu, Chai memohon ampun dan maaf kepada Seri Paduka Baginda serta seluruh umat Islam berhubung isu penjualan stoking yang tertera kalimah Allah di beberapa cawangan kedai serbaneka tersebut.

Sultan Ibrahim bertitah menekankan agar semua pihak termasuk KK Mart supaya lebih berhati-hati terhadap produk yang dijual khususnya barangan import bagi mengelakkan perkara sedemikian berulang.

“Semua pihak mesti lebih bertanggungjawab. Jangan pisang berbuah dua kali dan saya harap ini kali terakhir saya perlu menegaskan perkara ini,” titah Seri Paduka Baginda kepada Royal Press Office (RPO).

“Sekali lagi, saya tegaskan jangan ada pihak yang mengambil kesempatan ke atas perkara ini, termasuk menghasut rakyat.

"Saya tidak mahu perkara ini berlarutan,” titah Seri Paduka Baginda.

Pada Mac lalu, Chai, dan isterinya Loh Siew Mui, selaku pengarah didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas kesalahan sengaja melukakan perasaan orang Islam.

Bagaimanapun mereka mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Selepas kejadian itu, tiga kedai serbaneka diserang dengan cubaan bom api di Perak, Kuantan dan Sarawak.

GRACE AISYAH KEDAYAN