fb fb fb fb fb

Penganjuran sulung AISSE25 kejayaan besar negara - Saifuddin

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

PUTRAJAYA, 22 Januari - Persidangan dan Ekspo Keselamatan Antarabangsa Asia 2025 (AISSE25) melabuhkan tirainya hari ini dengan kehadiran lebih 5,000 pelawat dari dalam dan luar negara.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, menyifatkan penganjuran sulung AISSE25 sebagai kejayaan besar buat negara. 

Beliau menekankan bahawa pengisian persidangan itu berpotensi menjadikan Malaysia sebagai hab inovasi keselamatan serantau dan global.

"Kita menyaksikan penyertaan daripada 348 syarikat yang mewakili 48 negara. Ini satu angka yang saya anggap membanggakan dengan mengambil kira ini penganjuran sulung. Sidang kemuncak ini juga sekali gus mengukuhkan peranan Malaysia sebagai peneraju bagi mempromosikan kerjasama serantau selaku pengerusi ASEAN. Ia juga telah menunjukkan komitmen Malaysia bagi menyatukan negara-negara ASEAN untuk menangani cabaran keselamatan bersama," kata Saifuddin.

Tambah beliau, AISSE akan dianjurkan semula pada tahun 2027 dengan skala yang lebih besar dan impak lebih tinggi.

AISSE25 berlangsung selama tiga hari di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) menampilkan pameran teknologi keselamatan canggih dan peralatan daripada syarikat terkemuka dalam industri.

Dalam pada itu Saifuddin berkata, teknologi kecerdasan buatan (AI) akan diintegrasikan secara berperingkat di Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan agensi-agensi bawahnya bermula tahun ini.

Langkah itu selaras dengan usaha meningkatkan kecekapan, keselamatan dan keberkesanan perkhidmatan kepada rakyat. Selain memperkukuh penyelesaian isu keselamatan dan kawalan sempadan.

Sebagai permulaan, KDN telah melaksanakan sistem pengecaman wajah menggunakan sistem teknologi AI di pintu masuk sempadan termasuk Terminal 1 dan 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Johor sejak awal bulan lalu.

"Saya sangat yakin bahawa jalan yang patut kita hampiri adalah bawa kita termasuk KDN dan seluruh agensi bawah kami, AI sebagai penyelesaian, akhirnya mestilah sistem penyampaian yang lebih cekap. Dan mampu memberi jawapan terhadap isu-isu integriti.

TETITIA YUSOFF