fb fb fb fb fb

Penganjuran Rumah Terbuka tarik kunjungan pelancong sempena TMM 2024

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menghadiri Majlis Rumah Terbuka DUN Telok Mas di Padang Taman Seri Telok Mas di sini malam tadi.

Melaka, 20 April- Penganjuran Rumah Terbuka di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) di Melaka merupakan medium terbaik kerajaan negeri mempromosi Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Menurut Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman, majlis berkenaan menonjolkan keunikan budaya Melaka termasuk kepelbagaian makanan tradisi Melayu.

Katanya, setiap penganjuran majlis rumah terbuka terbabit mendapat sambutan yang baik daripada masyarakat tanpa mengira bangsa.

"Sempena TMM2024 ini kita mengambil pelbagai inisiatif mengadakan pelbagai program termasuk rumah terbuka, seperti penganjuran majlis di DUN Telok Mas iaitu kawasan diwakili saya sendiri.

"Kita dapat lihat sambutan amat menggalakkan daripada masyarakat pelbagai kaum bukan sahaja dari kawasan setempat malah dari luar Melaka yang turut meraikan sama majlis ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka DUN Telok Mas di Padang Taman Seri Telok Mas di sini lewat malam tadi.

Turut hadir memeriahkan majlis, Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Mengulas lanjut, Abdul Razak berkata pada majlis rumah terbuka yang diadakan di Padang Taman Seri Telok Mas itu, ia menarik sehingga 12,000 pengunjung selain pelbagai menu turut disediakan.

Beliau berkata bagi menjayakan penganjuran majlis rumah terbuka itu, pelbagai promosi dilakukan termasuk hebahan secara bergerak bagi menarik orang ramai hadir termasuk menguar-uarkannya menerusi media sosial.

"Kita percaya usaha mengadakan program seumpama ini dapat mengalakkan kunjungan pelancong sekali gus sasaran 15 hingga 18 juta pelancong tahun ini sempena TMM tercapai," katanya.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI