fb fb fb fb fb

Penganjuran ICCEIW tangani persepsi negatif terhadap Islam

Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

KUANTAN, 7 Mei - Penganjuran International Conference On Contemporary Education In The Islamic World (ICCEIW) yang menghimpunkan wakil negara-negara Islam dilihat mampu menjadi medium kepada usaha menangani isu islamofobia yang semakin membimbangkan.

Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, semua pihak khususnya umat Islam perlu mengemukakan idea serta kaedah untuk mengubah persepsi negatif tersebut kepada ciri-ciri Islam sebenar.
 
Titah baginda, umat Islam juga perlu menolak kepada keganasan termasuk menyuarakan bantahan serta menghindari sebarang ideologi yang bertentangan dengan ajaran sebenar agama Islam.
 
"Persidangan seperti ini perlu mendapat cari ilham cari panduan cari wahyu supaya kita dapat bangkit dengan satu rumusan supaya kita boleh perjuangkan apa sebenar perwatakan corak Islam akan datang kita tidak harus menyokong mana-mana keganasan khususnya keganasan daripada orang Islam itu sendiri," titah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
 
Baginda bertitah demikian ketika menyempurnakan majlis perasmian penutup Conference On Contemporary Education In The Islamic World (ICCEIW), di sini.
 
Persidangan tersebut melibatkan organisasi peringkat antarabangsa yang disertai 300 peserta antarabangsa dengan kerjasama UnIPSAS, Yayasan Pahang, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dan Kesatuan Universiti-universiti Islam Sedunia (Rabitah al-Jamiat al-Islamiyyah).
 
Persidangan itu dilaksanakan bertujuan menyediakan satu dimensi baru perbincangan dalam bidang-bidang ilmu terutama bidang pendidikan.
 
Gabungan dari 22 buah negara itu juga bertujuan untuk memajukan dan memperkembangkan lagi pendidikan Islam di negeri ini selain memberi kesan positif kepada usaha-usaha pembangunan Islam dan akademik ummah.

TETITIA YUSOFF