(M. Saravanan)
TAPAH, 7 Jun- Isu pengambilan pekerja asing dari Indonesia, Bangladesh dan Kemboja dijangka selesai dalam masa terdekat.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata ketika ini, beberapa perkara sedang giat diperhalusi termasuk aspek teknikal, prosedur pengambilan dan pemeteraian memorandum antara kesemua negara.
"Tiada lagi masalah dengan semua negara dan semua sudah selesai," katanya.
Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas menyampaikan komputer riba kepada 100 pelajar B40 di Dewan Merdeka, di sini hari ini.
Saravanan berkata setakat ini lebih 200,000 permohonan pekerja asing secara dalam talian daripada ketiga-tiga negara telah diterima melibatkan pelbagai sektor.
(Saravanan pada majlis penyampaian komputer riba kepada 100 pelajar B40 di Tapah hari ini)
Menurutnya, bagi kemasukan atau pengambilan pekerja dari Indonesia, ia membabitkan prosedur antara Kementerian Ketenagakerjaan Indonesia dan satu agensi berkaitan di sana.
"Saya tempoh hari telah berjumpa dengan Perdana Menteri Bangladesh dan juga Menteri Buruh semuanya sudah selesai.
"Cuma satu sahaja yang saya belum selesaian, memuktamadkan perjanjian Malaysia dengan Kemboja untuk membawa masuk pembantu rumah Islam. Saya akan ke sana pada bulan Julai dan kemungkinan besar kita akan selesaikan," katanya.
Terdahulu, penyampaian komputer riba tersebut merupakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) TalentCorp bertujuan meningkatkan kebolehpasaran siswazah selain merapatkan jurang digital khususnya golongan berpendapatan rendah.