PUTRAJAYA, 28 Februari – Bermula esok, pengamal perubatan tradisional yang tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) boleh dikenakan tindakan undang-undang termasuk denda dan penjara di bawah Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari 2016 (Akta 775).
Kementerian Kesihatan memaklumkan fasa kedua penguatkuasaan akta tersebut, yang bermula sejak 1 Mac 2021, berakhir pada 28 Februari 2025, dan tindakan akan diambil terhadap mereka yang masih tidak berdaftar.
"Menurut akta itu, individu yang mengamalkan perubatan tradisional dan komplementari tanpa perakuan pengamalan sah atau gagal mempamerkan perakuan tersebut boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga tiga bulan, atau kedua-duanya sekali.
"Bagi kesalahan berulang, hukuman lebih berat akan dikenakan dengan denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum tiga tahun. Individu yang mengeluarkan pernyataan palsu atau mengelirukan berkaitan perkhidmatan perubatan tradisional dan komplementari turut berdepan tindakan serupa," menurut KKM dalam satu kenyataan hari ini.
Tujuh bidang perubatan tradisional diiktiraf KKM ialah perubatan tradisional Melayu, perubatan tradisional Cina, perubatan tradisional India, homeopati, kiropraktik, osteopati dan amalan pengubatan Islam.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan mendapatkan rawatan hanya daripada pengamal yang berdaftar bagi memastikan perkhidmatan yang diterima adalah selamat dan beretika.
"KKM menegaskan komitmennya dalam memperkukuh sistem penjagaan kesihatan negara melalui pematuhan kepada undang-undang serta memastikan keperluan kesihatan rakyat sentiasa terjamin," tambah kenyataan itu.