KUCHING, 27 Mei- Pengamal media diseru untuk membantu Kementerian Komunikasi menangkis isu penyebaran maklumat salah dan berita palsu di platform media sosial.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata Forum Ekonomi Dunia (WEF) dalam Laporan Risiko Global 2024 menyenaraikan penyebaran maklumat salah dan berita palsu sebagai antara risiko global utama di dunia.
Sehubungan itu sambil memanfaatkan teknologi, beliau berkata adalah penting untuk semua pengamal media sentiasa berwaspada dan melakukan penilaian kritikal dalam setiap pelaporan masing-masing.
"Pada masa sama, kerajaan akan terus menangkis penyebaran berita palsu menerusi platform sedia ada, iaitu sebenarnya.my yang dikendalikan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, MyCheck Malaysia yang diuruskan BERNAMA serta segmen Biar Betul! Yang disiarkan oleh RTM setiap hari,"katanya pada Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional, HAWANA yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kuching hari ini.
Sementara itu, Fahmi memaklumkan, caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial, PERKESO akan dilaksanakan untuk 538 pengamal media sambilan ataupan 'stringers' mulai 1 Julai ini.
Beliau berkata, kementeriannya melalui BERNAMA akan menanggung sepenuhnya caruman untuk kumpulan tersebut yang tiada caruman PERKESO namun layak berdaftar bagi tempoh satu tahun pertama.
"Saya juga meminta agar semua organisasi media berdaftar untuk mengemaskini data masing-masing bagi memudahkan bantuan ini disalurkan oleh kementerian.
"Bagi menghargai pengorbanan rakan-rakan media, insya-Allah tahun ini pemberian rebat bil telefon pelan pascabayar yang dinamakan Insentif Rebat RAHMAH Pengamal Media akan dilaksanakan untuk tahun kedua pada bulan kebangsaan nanti,"katanya.
Sementara itu, dalam ucapan yang sama, Fahmi berkata, seramai 102 wartawan veteran dan pengamal media telah menerima bantuan Tabung Kasih@HAWANA.
Menurutnya tabung yang diperkenalkan oleh Kementerian Komunikasi menerusi BERNAMA tahun lepas, bertujuan membantu wartawan veteran dan pengamal media yang berdepan masalah kesihatan dan kesempitan hidup.
Tambahnya Kementerian Komunikasi akan terus menjejaki dan membantu mereka yang memerlukan untuk memastikan kebajikan pengamal media terbela.
Sehubungan itu, Fahmi menyeru warga media menjadi rakan strategik kepada kerajaan dalam usaha membantu mereka yang memerlukan selain mengalu-alukan penyaluran informasi berkenaan kepada pihak kementerian.