fb fb fb fb fb

Pengalaman kendali jemaah haji, Thailand sedia bekerjasama dengan TH

Kejayaan demi kejayaan yang dilakar Lembaga Tabung Haji (TH) sehingga mendapat pelbagai pengiktirafan oleh kerajaan Arab Saudi menarik minat pihak pengurusan jemaah haji Thailand untuk mempelajarinya

MEKAH, 4 Jun - Kejayaan demi kejayaan yang dilakar Lembaga Tabung Haji (TH) sehingga mendapat pelbagai pengiktirafan oleh kerajaan Arab Saudi menarik minat pihak pengurusan jemaah haji Thailand untuk mempelajarinya.

Ketua Rombongan Haji Thailand, Abdul Baziz Chema berpandangan Thailand harus mencontohi Malaysia berdasarkan pengalaman luas yang dimiliki TH.

Antara perkara yang boleh dipelajari termasuk sistem tabungan TH, aspek pengurusan jemaah dan lain-lain hal yang berkaitan.

"Malaysia merupakan 'abang' bagi kami khususnya bagi umat Islam di Selatan Thailand, banyak perkara-perkara yang sepatutnya kami pelajari di atas kejayaan yang telah dilakukan oleh pihak kerajaan Malaysia dan menjadi kewajipan bagi kami di Thailand untuk mempelajarinya," katanya.

Beliau ditemui selepas melakukan kunjungan ke bangunan Ibu Pejabat TH, di sini.

Abdul Baziz yang juga Ketua Majlis Agama Yala berkata, Thailand tidak mempunyai satu badan khusus yang mengawal selia segala urusan jemaah haji.

Sebaliknya, hal yang berkaitan diuruskan 88 agensi pelancongan dengan kos mengerjakan haji sekitar RM40,000 tanpa sebarang subsidi.

Hal itu menyebabkan hanya 7,000 daripada 11,000 kuota yang diperuntukkan untuk umat Islam di negara itu, dipenuhi.

Sementara itu, Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata kunjungan pihak pengurusan haji Thailand membolehkan kedua-dua pihak bertukar-tukar pandangan dalam pengurusan haji.

"Kita melihat kepada ruang dan peluang untuk kita mengadakan kerjasama dan bertukar-tukar pandangan dan pengalaman urusan haji setiap negara supaya kita dapat mempertingkatkan lagi prestasi dan juga kualiti perkhdimatan dan kemudahan-kemudahan yang diberikan kepada jemaah-jemaah haji di negara masing masing," katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN