fb fb fb fb fb

Penempatan pegawai JAKIM untuk laksana fungsi hal ehwal Islam

Datuk Dr. Mohd Naim Mokhtar

KUALA LUMPUR, 18 September- Penempatan para pegawai JAKIM adalah berdasarkan perjawatan yang diluluskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melalui permohonan daripada Kementerian, Jabatan dan Agensi Kerajaan untuk melaksanakan fungsi Hal Ehwal Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Naim Mokhtar dalam satu kenyataan berkata, satu sesi perjumpaan bersama-sama Majlis Perundingan Malaysia Bagi Buddha, Kristian, Hindu, Sikh Dan Taoisme (MCCBCHST) dan Kementerian Perpaduan Negara diadakan di Kompleks Islam Putrajaya.

"Perjumpaan tersebut diadakan bagi memberi pencerahan mengenai isu yang dibangkitkan oleh Majlis Perundingan Malaysia Bagi Buddha, Kristian, Hindu, Sikh Dan Taoisme (MCCBCHST) berkaitan penempatan pegawai JAKIM di kementerian-kementerian.

"Para perwakilan yang hadir terdiri daripada Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara, 10 orang perwakilan dari MCCBCHST dan pegawai-pegawai kanan kedua-dua agensi berkenaan," katanya.

Hasil perjumpaan tersebut disarankan agar Biro Pengurusan Isu Agama dan Mediasi yang ditubuhkan dalam Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (HARMONI) diaktifkan bagi mengelakkan sebarang polemik tentang sesuatu isu.

Dalam pada itu Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyeru dan mengajak rakyat Malaysia yang berbilang agama dan kaum agar saling menghargai realiti kepelbagaian dalam negara dan bersama-sama berusaha memelihara keharmonian.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI