fb fb fb fb fb

Penduduk terjejas banjir di Sarawak meningkat, Johor kekal

FOTO FAIL

KUALA LUMPUR, 21 Januari - Situasi banjir di Sarawak sedikit meningkat dengan jumlah 459 penduduk terjejas banjir ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) pagi ini berbanding 444 orang, malam tadi.

Berdasarkan laporan terkini Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), dua PPS di Betong menempatkan 404 orang daripada 120 keluarga manakala di Bintulu, sebuah PPS menempatkan 55 orang daripada 27 keluarga.

"Penduduk terjejas banjir di Johor pula kekal 65 orang daripada 19 keluarga yang berlindung di dua PPS di Segamat," menurut NADMA.

Tinjauan situasi di Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati beberapa sungai berada pada paras bahaya iaitu Sungai Johor (Kota Tinggi, Johor), Sungai Kedah (Kota Setar, Kedah), Sungai Arau (Arau, Perlis) dan Sungai Terengganu (Hulu Terengganu, Terengganu).

Menurut NADMA, sebanyak 18 jalan ditutup akibat banjir, jambatan rosak dan tanah runtuh antaranya Jalan Raya Timur Barat di Hulu Perak, Perak; Jalan Bukit Besi-Dungun di Dungun, Terenganu dan Jalan Bukit Jugra di Kuala Langat, Selangor.

TETITIA YUSOFF