GEORGE TOWN, 30 Oktober - Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan menyalurkan bantuan kewangan kepada penduduk terjejas banjir di Pulau Pinang yang layak dalam masa terdekat.
Ia melibatkan seramai 1,201 penduduk daripada 333 keluarga di tiga daerah iaitu Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Tengah (SPT) dan Barat Daya, yang telah dipindahkan ke tujuh Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berkata bantuan itu penting untuk meringankan beban yang ditanggung penduduk terjejas akibat hujan lebat baru-baru ini.
“Penyaluran bantuan kepada penduduk terjejas yang layak akan dilakukan dalam masa terdekat. Saya dimaklumkan tiada aset kerajaan negeri yang rosak atau terlibat dalam kejadian banjir,” katanya kepada media di Wisma Yeap Chor Ee, hari ini.
Dalam pada itu, beliau mengesahkan tiada aset kerajaan negeri yang dirosakkan atau terjejas secara langsung dalam kejadian tersebut.
Tambahnya, kerja membaik pulih lereng yang runtuh di Jalan Tun Sardon, yang menghubungkan Paya Terubong ke Balik Pulau akan disiapkan secepat yang mungkin.
Menurut beliau, keruntuhan di bahagian yang tidak dikonkritkan itu memberi kesan besar kepada pengguna jalan raya, dan tindakan segera sedang diambil bagi memastikan keselamatan serta kelancaran laluan.