fb fb fb fb fb

Penduduk terjejas banjir di Perlis terus meningkat

Foto BERNAMA

PADANG BESAR, 23 November - Jumlah penduduk terjejas banjir di sekitar Padang Besar yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) terus meningkat sehingga pukul 10 malam tadi.

Berbanding hanya 222 individu pada pukul 6 petang tadi, kini jumlah berkenaan telah meningkat kepada 332 individu mewakili 98 keluarga.

Menurut Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri, Ku Chik Ku Mat Isa ketika dihubungi, PPS terbaharu yang diaktifkan ialah di Dewan Semai Bakti Felda Mata Ayer yang menempatkan 67 individu mewakili 21 keluarga sekitar Felda Mata Ayer.

Manakala PPS SK Kebangsaan Titi Tinggi yang dibuka sejak pukul 12 tengahari tadi ditutup kira-kira pukul 7 malam tadi disebabkan banjir yang menjejaskan PPS terbabit dan kesemua penduduk terjejas dipindahkan ke PPS Sekolah Kebangsaan Felda Mata Ayer.

PPS Sekolah Kebangsaan Felda Mata Ayer kini menempatkan seramai 186 individu melibatkan 56 keluarga sekitar Kampung Titi Tinggi Hilir, Kampung Guar Tinggi dan Kampung Sahabat.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail diiringi Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut berkenan melawat penduduk terjejas banjir di PPS SK Felda Mata Ayer.

Manakala PPS Sekolah Kebangsaan Lubuk Sireh menempatkan 79 individu melibatkan 21 keluarga dari Kampung Baru Batu 17 dan Kampung Batu 15.

Sementara itu, seramai 120 individu yang terjejas banjir di sekitar Kampung Wang Kelian masih berada di Pusat Transit Masjid Nurul Husna berikutan laluan keluar masuk masih tidak dapat diakses berikutan tanah runtuh dan pokok tumbang.

Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia giat membantu mangsa yang terjejas banjir ke PPS, susulan hujan lebat ketika ini.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN