fb fb fb fb fb

Penduduk terjejas banjir di Kedah berkurangan kepada 2,215

Foto RTM

ALOR SETAR, 9 Oktober - Jumlah penduduk terjejas banjir yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di empat daerah di Kedah setakat pukul 12.00 tengah hari tadi telah berkurangan kepada 2,215 orang, berbanding 2,505 orang pada pagi tadi.

Lima PPS di Daerah Baling yang sebelum ini menempatkan lebih 300 penduduk telah ditutup pada pukul 10.00 pagi tadi.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (Pertahanan Awam) Muhammad Suhaimi Mohd Zain, menyatakan bahawa walaupun jumlah keseluruhan penduduk yang dipindahkan ke PPS menunjukkan penurunan, terdapat peningkatan di beberapa daerah.
 
Di Daerah Kubang Pasu, jumlah penduduk terjejas meningkat kepada 820 orang, berbanding 813 orang pada pagi tadi.

"Mereka ditempatkan di tujuh PPS, iaitu: SMK Changlun (123 orang), Dewan PPK Lubuk Batu (149 orang), Sekolah Kebangsaan (SK) Malau (137 orang), SMK Indera Putra (93 orang), SMK Mahawangsa (165 orang), dan SK Ahmad Tajuddin (153 orang).

"Manakala, PPS SK Bandar Darul Aman yang dibuka pada pukul 9.00 pagi tadi kini dalam proses kemaskini," kata Suhaimi.

Di Daerah Kota Setar, jumlah penduduk terjejas juga menunjukkan peningkatan kepada 717 orang, berbanding 716 orang pada pagi tadi.

Mereka ditempatkan di lima PPS, termasuk SMK Alor Merah (160 orang), SK Taman Aman (190 orang), SK Titi Gajah (203 orang), SK Haji Idris (88 orang) dan SMK Kepala Batas (76 orang).

"Daerah Pokok Sena, jumlah penduduk yang dipindahkan meningkat kepada 375 orang, berbanding 368 orang pagi tadi. Mereka ditempatkan di tiga PPS, iaitu: Dewan Serbaguna Pokok Sena (177 orang), SK Tualang (63 orang), SK Bukit Hijau (135 orang)," menurutnya lagi.

Di Pendang, jumlah penduduk terjejas juga meningkat kepada 303 orang berbanding 281 orang pada pagi tadi.

Mereka ditempatkan di dua PPS, iaitu Dewan Kompleks Rakan Sukan Tanah Merah (240 orang) dan SMK Pendang (63 orang).

Pihak berkuasa akan terus memantau keadaan semasa bagi memastikan keselamatan penduduk terjejas.
 

TETITIA YUSOFF