fb fb fb fb fb

Penduduk terjejas banjir di Johor meningkat

KOTA TINGGI, 14 Disember - Sehingga pukul 4.00 petang tadi, bilangan penduduk terjejas banjir di Johor meningkat kepada 148 orang melibatkan 44 keluarga.

Dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di sini iaitu di Dewan Kampung Baru Sungai Mas dan Dewan Muafakat Bandar Penawar menempatkan 87 orang.

Situasi banjir di Segamat sedikit meningkat dengan kedua-dua PPS yang beroperasi menempatkan 61 orang berbanding 57 orang sebelum itu.

Seorang penduduk Kampung Muhibbah, di sini Rozita Alias berkata air naik terlalu cepat ,bagaimanapun dia dan keluarganya sudah pun membuat persiapan awal menghadapi banjir.

"Hujan dari malam semalam sudah hujan, selepas itu dari pagi sehingga malam hujan turun lebat, bertembung pula dengan air pasang, saya pula tinggal berhampiran sungai..jadi memang berpotensi la.." kata Rozita di sini.

Pada masa sama, pemantauan terus dipergiat di kawasan berisiko sekitar mukim Tanjung Surat, berikutan jangkaan air pasang besar 5.00 petang nanti.

Antara lokasi berisiko ialah di Kampung Lepau, Perkampungan Bayu Damai dan kampung-kampung berhampiran pantai dan air dijangka boleh naik sehingga 1 meter.

(Khairul Sufian ketika ditemui pemberita RTM)

"Mengikut jadual pasang surut air keadaan boleh jadi bertambah teruk sekiranya hujan terus lebat seperti sekarang, jadi kami teruskan rondaan dan memastikan penduduk selamat ," menurut Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sebana Cove, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Khairul Sufian Dahari.

Media Baharu