Penduduk Pasir Mas tunai Solat Istisqa’ mohon hujan

Solat Sunat Istisqa’ dilaksanakan di padang bola sepak Apam Putra, Lubok Jong

PASIR MAS, 27 Mac– Kira-kira 200 penduduk Mukim Lubok Jong dan Repek menunaikan Solat Sunat Istisqa’ bagi memohon hujan susulan cuaca panas dan kering yang melanda kawasan itu sejak hampir dua bulan lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penduduk mengadakan Solat Sunat Istisqa’ secara berjemaah memohon hujan dan rahmat.
  • Kemarau panjang menyusutkan sungai dan telaga, menjejaskan tanaman serta mencetuskan kebakaran tumbuhan.
  • Sambutan menggalakkan menunjukkan kesedaran untuk bergantung kepada Allah; seruan menteri galakkan amalan berterusan.

Keadaan kemarau berpanjangan menyebabkan sumber air seperti sungai dan telaga menyusut, selain menjejaskan tanaman penduduk.

Seorang penduduk, Zaidi Mohamad berkata, situasi itu mendorong mereka mengambil inisiatif mengadakan Solat Sunat Istisqa’ sebagai usaha memohon hujan.

Menurutnya, penduduk dari kedua-dua mukim berkumpul menunaikan solat berkenaan di padang bola sepak Apam Putra, Lubok Jong.

“Keadaan kemarau berlarutan memberi kesan kepada kehidupan penduduk, jadi kami sepakat menunaikan solat sunat memohon hujan.

Sepanjang tempoh cuaca panas ini, dua kejadian kebakaran melibatkan pokok dan tumbuhan dilaporkan,” katanya.

Tambahnya, usaha tersebut diharap menjadi asbab turunnya hujan serta mengurangkan bahang panas yang dihadapi.

Sementara itu, Imam Muda Masjid Mukim Lubok Jong, Hafiz Abdullah berkata, sambutan menggalakkan penduduk mencerminkan kesedaran masyarakat untuk kembali bergantung kepada Allah SWT ketika berdepan musibah.

“Kita ambil peluang ini untuk bersama-sama bermunajat memohon hujan dan memohon rahmat daripada Allah SWT.

Keadaan cuaca panas ini turut memberi kesan kepada haiwan serta golongan yang kurang sihat,” katanya.

Pada 24 Mac lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan menyeru umat Islam melaksanakan Solat Sunat Istisqa’ bagi memohon hujan.

Beliau berkata, amalan itu wajar dilaksanakan secara berterusan sebagai tanda keinsafan dan kebergantungan kepada Allah SWT.