
DUNGUN, 13 Januari – Penduduk di pantai Paka, Dungun, Terengganu merayu pihak terbabit segera menyelesaikan masalah hakisan pantai yang serius dan berlarutan sejak puluhan tahun lalu.
- Penduduk Paka merayu tindakan segera kerana hakisan pantai semakin teruk mengancam rumah dan memaksa perpindahan.
- Hakisan bertambah buruk semasa musim tengkujuh dengan ombak besar dan arus kuat mempercepatkan kehilangan tanah.
- JPS Terengganu merancang projek kawalan hakisan bernilai hampir RM18 juta, dijangka dilaksanakan pada penghujung 2026.
Masalah tersebut telah berlarutan sejak sekian lama dan memerlukan kerja-kerja baik pulih bagi memastikan keselamatan penduduk serta kelestarian kawasan pesisir pantai berkenaan.
Tinjauan RTM di sepanjang hampir tiga kilometer pantai berkenaan mendapati hakisan pantai semakin buruk dan sebahagian tanah telah runtuh dan hilang dibawa arus laut.
Keadaan itu membuatkan penduduk semakin bimbang apabila hakisan semakin hampir dengan rumah dan sebahagian penduduk terpaksa berpindah kerana rumah mereka rosak.
Menurut penduduk, masalah itu bertambah serius apabila setiap kali tiba musim tengkujuh kerana ombak besar dan arus kuat membadai kawasan pantai.
Penduduk meminta pihak berkenaan dapat melaksanakan langkah penyelesaian segera dan berkesan bagi menangani masalah tersebut sebelum keadaan menjadi lebih parah.
“Perkara ini tiap-tiap tahun, sikit-sikit dia makan tanah. Duduk tepi pantai ni lama-lama makin bimbang, sebab tiap-tiap tahun mesti ada,” kata penduduk, Norhisham Abdul Wahab.
Seorang lagi penduduk, Nor Fatin Ahmad Setia, berkata keadaan tahun ini jauh lebih serius berbanding sebelumnya.
Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu, dalam satu kenyataan memaklumkan Projek Kawalan Hakisan Pantai di Kuala Paka bernilai hampir RM18 juta kini dalam fasa reka bentuk dan dijangka mula dilaksanakan pada penghujung tahun 2026.
Projek berkenaan adalah kesinambungan kepada Projek Kawalan Hakisan Pantai dan Pemuliharaan Muara Sungai Paka yang telah siap dilaksanakan sekitar tahun 2021.
Ia selaras dengan pendekatan pelaksanaan berperingkat JPS untuk memastikan perlindungan pantai dan muara dapat dicapai secara berkesan dan mampan.